Tuesday, 15 December 2015

REFLEKSI DIRI (2015851618)

BAB 6:

DARI SEGRASI KE INTEGRASI



Sejarah dan asal-usul sesuatu etnik telah membuktikan bahawa segregasi etnik ini sudah berlangsung sejak sekian lama tanpa kehadiran pihak penjajah Barat. Pola segregasi ini tetap terjadi kerana atas alasan faktor amalan budaya, amalan nilai, kegiatan ekonomi dan faktor agama. Ini dapat dilihat daripada pola taburan suku kaum masyarakat di Malaysia khususnya yang hidup secara berkelompok berdasarkan budaya, amalan nilai, kegiatan ekonomi dan kepercayaan yang sama di sesuatu tempat.

Segregasi merujuk kepada pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah negara. Pemisahan itu berlaku dalam beberapa keadaan seperti kawasan tempat tinggal, jenis pekerjaan, sistem persekolahan dan penerbitan akhbar mengikut bahasa ibunda masing-masing.

Malaysia lebih mengutamakan integrasi dalam usaha memupuk perpaduan rakyat di negara ini. Integrasi diertikan sebagai satu proses penyesuaian bersama pelbagai kebudayaan dan ciri-ciri sosial yang dapat diterima oleh semua kelompok etnik. Identiti, budaya dan hak hidup sesuatu kumpulan etnik tidak dihapuskan, tetapi disuburkan. Dalam konteks Malaysia, integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan etnik yang terpisah-pisah dari segi budaya, agama, sosial dan kawasan penempatan.

Sejak merdeka lagi, kerajaan Malaysia telah memupuk semangat perpaduan dalam memakmurkan negara kita. Pelbagai dasar telah dijalankan untuk mencapai proses perpaduan ini. Tanpa perpaduan, kemajuan negara yang ingin dicapai untuk Wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana kerjasama diperlukan untuk menjana kemajuan.

Perubahan pembangunan yang pesat di Malaysia telah mengubah sedikit senario pola taburan etnik. Dasar kerajaan yang sangat progresif ke arah meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup yang lebih baik kepada rakyat, telah membantu mempercepat mengurangkan segregasi mengikut etnik secara nyata terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Walau bagaimanapun, perubahan mekanisme ini tidak selalunya berjalan lancar dan sentiasa ada pengaruh lain yang boleh menyeragamkan semula keadaan seperti sedia kala. Kekuatan-kekuatan dari segi aspek ekonomi, sosial dan politik boleh menjadi faktor penentu kepada pembentukan segregasi etnik moden.Kertas kerja ini memfokuskan tentang perubahan yang berlaku dari segrasi ke integrasi dalam kalangan etnik Malaysia. 


Kepelbagaian budaya dalam negara Malaysia seharusnya tidak menimbulkan masalah perkauman. Setiap kaum mahupun etnik, perlu mengetahui dan memainkan peranan mereka dalam memastikan konflik perkauman supaya peristiwa 13 Mei 1969 tidak berulang semula. Peristiwa tersebut menunjukkan betapa pentingnya untuk kita berinteraksi antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, agama, budaya dan bangsa. Perpaduan kaum ini amatlah penting bagi menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Keutuhan sesebuah negara terletak kepada perpaduan rakyatnya. Apabila rakyatnya saling memahami mahupun saling menghormati satu sama lain, nescaya negara akan sentiasa stabil dan kemajuan dapat dinikmati. Kehidupan masyarakat yang bersegregasi sememangnya menyebabkan perpaduan sangat sukar untuk dikecapi. Ini kerana, apabila persefahaman antara kaum yang kurang, yang sentiasa hidup di kelompok sendiri, masyarakat tidak akan mengambil berat akan satu sama lain. Persefahaman yang kurang boleh mendatangkan pelbagai kesan buruk yang boleh mengancam keselamatan dalam negara, ketidakstabilan ekonomi, dan mungkin juga boleh mencetus perang saudara. Sentimen perkauman juga haruslah dielakkan.  








No comments:

Post a Comment