Monday 7 December 2015

HOMEWORK

1. Bagaimanakah pengaruh Hindu Buddha dalam masyarakat Melayu awal?
     
Dengan kedatangan agama Hindu-Buddha di rantau Alam Melayu ini, upacara dan penyembahan  keagamaan menjadi lebih tersusun dan berbentuk rasmi. Ajaran agama Hindu-Buddha juga telah mengalami proses sinkritisme atau penyerapan dengan kepercayaan tempatan yang asli untuk  membentuk satu kepercayaan baru yang saling melengkapi. Namun begitu terdapat pandangan yang menyatakan kesan pengaruh Hindu-Buddha ini hanya berlaku pada lapisan atas masyarakat Melayu iaitu golongan pemerintah dan bangsawan sahaja tetapi tidak menyerap ke segenap lapisan masyarakat Melayu terutama di lapisan bawahan iaitu golongan rakyat jelata yang masih mengamalkan kepercayaan animisme.
Mengenai aspek politik dan pentadbiran, pengaruh ini tidak benar-benar melibatkan keseluruhan doktrin atau ajaran murni yang terdapat dalam falsafah Hindu-Buddha asli yang luhur itu. Hanya yang dipentingkan ialah perkara- perkara yang membesarkan dewa-dewa supaya dapat dikaitkan dengan kedudukan dan status raja sebagai penjelmaan dewa-dewa seperti yang telah diungkapkan oleh konsep 'dewaraja'. Melalui konsep ini, kedudukan raja-raja dari aspek spiritual dan peranan fizikal diperkukuhkan melalui upacara keagamaan untuk menjadikan raja-raja sebagai peribadi yang luhur, suci dan kudus.
Namun begitu, kesan daripada aspek-aspek ajaran Hindu ini seperti sistem  masyarakat (sistem kasta) yang memisahkan golongan raja, para bangsawan, golongan agama dan rakyat jelata sedikit sebanyak telah menular ke dalam sistem sosial kelompok Melayu.
Teras kepercayaan agama Hindu berdasarkan telah meninggalkan kesan negatif dan positif terhadap masyarakat di Asia Tenggara dalam aspek-aspek berikut:

Hukum Karma
 Dengan adanya Hukum Karma ini ianya dapat membuat penganut agama Hindu agar sentiasa berbuat baik sesama makhluk.
Ini kerana tindakan-tindakan untuk mencapai kehidupan selepas mati jika melakukan amalan-amalan baik dan berbakti semasa hidup.

Kesan ke atas pemikiran
Pengaruh Hindu-Buddha juga telah meninggalkan kesan ke atas pemikiran masyarakat Melayu awal. Yang mana pengaruh dari India ini telah meningkatkan peradapan di mana kedudukan Raja pada zaman tersebut mempunyai fungsi dan kebolehan sebagai seorang shaman. Raja sebagai shaman ditakrifkan sebagai pawang atau bomoh yang mempunyai ilmu mentera dan jampi serapah. Hasil daripada kepercayaan ini, rata-rata masyarakat Melayu awal pada ketika itu mempunyai pemikiran bahawa Raja mempunyai kelebihan dan dapat menguasai alam ghaib yang boleh mempengaruhi kehidupan individu-individu dalam masyarakat. Kebolehan raja yang memiliki kuasa yang luar biasa ini telah meletakkannya di satu kedudukan yang tinggi dalam strata sosial masyarakat. Jelaslah menunjukkan bahawa seseorang raja perlu meyakinkan rakyat dalam taraf pengetahuan yang difahami oleh rakyat sendiri iaitu dalam bentuk data dan sistem sosial yang telah wujud sebeum tibanya pengaruh dari India.

Kesan ke atas sistem undang-undang
Kesan pengaruh Hindu-Buddha juga dapat dilihat dengan jelas. Ini kerana Raja dianggap sangat istemewa kerana kedudukan Raja yang mempunyai kredibiliti sebagai jelmaan dewa-dewa. Raja juga dianggap mempunyai kekuasaan mistik yang luar biasa. Oleh kerana itu, apa sahaja yang diucapkan oleh Raja adalah merupakan undang-undang yang mesti dipatuhi. Jika dibandingkan kedua-dua jenis undang-undang ini, kanun diraja lebih utama dan kuat diresapi oleh penaruh Hindu-Buddha kerana golongan aristokrat lebih menerima pakai unsur-unsur agama dan budaya dari India demi kepentingan kedudukan mereka yang prestij itu.
Kesan ke atas sistem ekonomi
Pengaruh Hindu-Buddha telah meninggalkan kesan yang sangat ketara di kalangan rakyat dan masyarakat Melayu awal. Pada zaman tersebut Raja dianggap pemerintah yang wajib ditaati. Rakyat ataupun masyarakat daripada strata bawahan yang terdiri daripada nelayan dan petani terpaksa membayar ufti yang berupa bentuk emas atau pun cukai daripada hasil pekerjaan mereka kepada Raja melalui pegawai-pegawai Raja yang dilantik khas untuk melaksanakan kutipan cukai daripada rakyat kelas bawahan.

Disebabkan terdapatnya susunan hiraki dalam susunan kasta yang pengaruhnya datang daripada India, masyarakat bahawan pada zaman pra-kolonial di tamadun Melayu Awal hanya mampu mempunyai pekerjaan yang setara dengan kelas dan status sosialnya. Dari aspek ekonomi masyarakat pada zaman tersebut tidak mampu menaik taraf kehidupan mereka kepada taraf yang lebih baik kerana susunan hiraki yang mengikut kasta adalah sebagai sebahagian daripada kepercayaan keaagamaan.

 Kesan ke atas seni budaya dan adat resam
Khazanah kebudayaan India lebih diminati dari falsafah agamanya sehingga falsafah itu diabaikan dan diubahsuai menjadi seni. Misalnya banyak tarian-tarian keagaaman telah diadaptasi menjadi sebagai tarian seni dan kebudayaan di India dan telah meresapi kepada masyarakat Melayu awal yang menganut agama Hindu. Sementara itu gajah telah dinaik taraf sebagai binatang diraja dan memperoleh kedudukan yang mulia bagi agama Hindu dan Buddha.  

Ciri-ciri Indianisasi juga dapat dilihat jelas terhadap kesenian tempatan yang berunsur India yang berevolusi menerusi penyebaran agama Hindu. Pengaruh konsep drama dan pementasannya juga di adaptasi daripada kitab-kitab Hindu dan tulisan daripada India. Cerita-cerita metos agama Hindu tersebut juga telah disadur menjadi versi kesusasteraan dan seni budaya tempatan.      


2.Apakah perubahan yang dibawa Islam ke atas Tanah Melayu?
   
Perubahan daripada aspek akidah atau kepercayaan
kepercayaan masyarakat alam melayu sebelum kedatangan Islam dipengaruhi oleh animism dan dinamisme yang mempercayai setiap perkara atau benda mempunyai semangat atau roh yang member kesan baik atau buruk serta mempercayai kuasa roh nenek moyang. Juga ada yang berpendapat bahawa telah wujud agama tauhid iaitu kepercayaan kepadaTuhan yang Maha Esa di alam melayu.
Walau bagaimanapun selepas kedatangan agama Islam, masih ada segelintir masyarakat alam melayu mempercayai politheisme (percaya lebih dari satu Tuhan) akibat pengaruh yang dibawa oleh agama Hindu-Buddha.
Dengan menerapkan amalan tauhid yang sememangnya menjadi akidah Islam kepada masyarakat alam melayu akan melahirkan amalan yang sebaris dengan syariat Islam terutama ibadah khusus seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memberi zakat, mengerjakan haji bagi yang berkemampuan, membaca Al-Quran serta seumpamanya.
Jadi pengaruh akidah, ibadah dan tassawur Islam sangat membantu di dalam kehidupan masyarakat di alam melayu serta mengukuhkan lagi agama Islam sehingga kini dan susah untuk dipisahkan antara melayu dengan Islam. Dengan ini menjadikan masyarakat melayu ingin membina tamadun yang lebih gemilang berbanding zaman sebelumnya.

Perubahan daripada aspek bahasa dan perkataan
Dengan adanya Islam di alam melayu, pengaruh daripada bahasa dan perkataan juga telah diberi nafas baru terhadap bahasa melayu. Tulisan daripada Al-Quran yang diasaskan daripada 29 huruf itu telah menyebabkan masyarakat alam melayu pandai membaca dan menulis.
 Selain itu, dari segi sastera juga telah diberi pembaharuan di alam melayu. Sebagai contoh fungsi dan peranannya telah berubah daripada sifat hiburan kini telah dijadikan kepada media pendidikan dan pendakwah.

Perubahan daripada aspek perlakuan individu
 Dalam hal sebegini, pendakwah amat memainkan peranan yang sangat penting dalam memberi kesedaran kepada anak-anak muda-mudi zaman sekarang berkenaan hal Islam. Hampir setiap kawasan wujudnya pendakwah-pendakwah bagi mewujudkan kesedaran kepada masyarakat mengenai Islam. Ini bagi memastikan setiap individu mempraktikkan aspek-aspek perlakuan dan bukan sahaja pendakwah malah setiap umat Islam perlu mempraktikkan asas-asas fardhu ain serta fardhu kifayah supaya dapat memantapkan lagi perlakuan setiap individu.

Perubahan daripada aspek sosial
 Setelah kedatangan Islam sifat dan nilai-nilai murni telah diterap dan ditambah dengan pendidikan agama terutama al-Quran yang ditekankan masyarakat melayu. Pengajian agama Islam telah dijalankan secara formal dan tidak formal sejak dahulu lagi.
Penekanan masyarakat melayu dalam bidang pendidikan ini telah membawa kepada perubahan social terhadap masyarakat setempat. Ianya berlaku setelah berlakunya kesedaran setiap individu setelah mendapat pendidikan secara kebetulan atau tidak. sebagai contoh pergaulan diantara lelaki dan perempuan amat terbatas bagi yang bukan muhrim. Ini bertujuan bagi mengelakkan berlakunya perbuatan yang tidak diingini seperti zina
Disebabkan budaya melayu berteraskan Islam amalan dan masyarakat setempat, maka aspek-aspek ini menjadi asas utama dalam membentuk budaya masyarakat melayu yang sinonim dengan agama mereka iaitu agama Islam.

Perubahan daripada aspek sosio-ekonomi
Berdasarkan sejarah, aspek ekonomi di alam melayu sebelum kedatangan Islam sangat mundur serta tidak menentu. Ianya boleh diibaratkan sebagai kais pagi makn pagi, kais petang makan petang. Ada jurang besar antara orang kaya dan orang miskin, pangkat tinggi dengan pangkat rendah amat ketara sekali. Tetapi semua itu berubah setelah Islam diperkenalkan serta diperluaskan di alam melayu.
Ini disebabkan Islam mengajar manusia supaya mengamalkan persamaan taraf di kalangan manusia. Jangan ada jurang diantara orang kaya dengan orang miskin dan mesti tolong-menolong antara satu sama lain. Jangan sesekali wujud perbezaan disebabkan harta, keturunan, pangkat dan seumpama dengannya.

Masyarakat di alam melayu perlu bekerjasama demi meningkatkan dan memajukan ekonomi. Kesanggupan dan kerelaan orang –orang kaya mengeluarkan zakat serta bersedekah tidak kira dengan cara apa sekali pun merupakan faktor-faktor penting menyumbang ke arah perkembangan ekonomi dan keharmonian masyarakat serta kemajuan negara.

No comments:

Post a Comment